Sunday, September 21, 2008

Aildilfitri dan Detik Perubahan...

Puasa kita dah menjangkau masuk fasa ke tiga (pembebasan daripada api neraka). Semua hati sekarang tertumpu kepada sambutan Aidilfitri. Pelbagai siap siaga kita untuk ke arah itu. semuanya baru..baju baru, perabot baru, kuih baru, langsir baru, pinggan mangkuk baru dan banyaklah benda baru yang menjelma ke dalam rumah kita. Kita mungkin terlupa satu perkara dalam keghairahan menyambut Syawal, iaitu kesedihan meninggalkan Ramadhan. Tak pernah terlintas mungkin persoalan dihati kita, bahawa adakah kita masih boleh menemui Ramadhan berikutnya? Atau apakah ini Ramadhan yang terakhir buat kita. Ketika jantung masih upaya berdenyut, makan masih selera, batin masih kuat, nafsu semakin serakah, tatkala itu kita masih segar bugar dibuai lupa seketika. Untuk bangkit seketika, Ramadhan inilah medan terbaik untuk berubah. Peluang berada di Madrasah Ramadhan ini sesungguhnya mengingatkan kita kepada semangat perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Ingatkah kita kepada sejarah medan tempur Badar al-Kubra. Logikkah 313 orang mengalahkan 1300 musuh?. Tentera Islam hanya dengan 2 ekor kuda perang dan 70 ekor unta sahaja. Tetapi ingatlah, Kita merancang, Allah merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang lebih baik. Itulah semangat dan upaya yang nak kita pacu dan garapkan kepada generasi mendatang. Bergantung harap hanya kepada Allah, bukan kepada yang lain.